PENAFIAN ... Segala info yang terdapat di dalam weblog ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi pemilik weblog dan bersifat "TANPA PRASANGKA (WITHOUT PREJUDICE)" ... ianya TIDAK BOLEH sama sekali walau dalam apa cara dan/atau bentuk sekalipun dijadikan dan/atau dianggap sebagai maklumat rasmi dan/atau dikaitkan dengan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Seremban Timur dan/atau Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sembilan dan/atau mana-mana unit dan/atau biro di bawah dan/atau di atasnya ... Pemilik weblog ini juga tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kekeliruan dan/atau kecelaruan akibat dari pembacaan di weblog ini ... Mana-mana isi kandungan samada sebahagian dan/atau keseluruhan weblog ini juga tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti di mana-mana mahkamah walau atas apa tujuan sekalipun ... Tindakan anda meneruskan pembacaan di weblog ini membuktikan anda memahami isi kandungan penafian ini dan bersetuju dengannya ...
SKROL KE BAWAH UNTUK MELIHAT "SCOREBOARD"

Isnin, 27 September 2021

PERTANDINGAN MENULIS SEMPENA SAMBUTAN HARI PENGAKAP MALAYSIA 2021

PENGALAMAN SAYA BERPENGAKAP

Nama saya Abdul Aziz Bin Haji Abdul Wahab, berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan. Saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam berPengakap.

Saya memulakan kehidupan berPengakap sebagai ahli Pengakap Kanak-Kanak Kumpulan 02 Setapak, Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Gurney (1) Kuala Lumpur pimpinan Puan Hajjah Juriah Binti Sharuddin dan Tuan Haji Abd Razak bin Haji Shahidan, kedua-duanya merupakan mantan Penolong Ketua Pesuruhjaya Negara.

Kemudian saya meneruskan aktiviti kePengakapan sebagai ahli Pengakap Muda Kumpulan 01 Titiwangsa Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang Kuala Lumpur pimpinan Tuan Haji Latiff Bin Abu Hassan, mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Negeri, PPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seterusnya saya menyertai Kumpulan 03 Sungai Besi sebagai ahli Pengakap Remaja Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pimpinan Tuan Mohammad Saiful Bin Mansur, mantan Pesuruhjaya Daerah PPM Bandar Tun Razak.

Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, saya menyertai Kumpulan Pengakap Terbuka WPKL, Kem Pelanduk, Jalan Hang Tuah pimpinan Allahyarham Tuan Haji Abdul Aziz Bin Abdul Majid, mantan Penolong Pesuruhjaya Negeri, PPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Disepanjang perjalanan saya sebagai ahli Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap Muda dan Pengakap Remaja, ada 2 pengalaman yang paling saya tidak boleh lupakan. Pertama adalah semasa menyertai Kem Ujian Sikap Pengakap Raja bertempat di Kem Sardon Jubir, Balakong Selangor tahun 1990. Saya merasa amat teruja kerana berpeluang untuk menjadi seorang Pengakap Raja walaupun ketika itu saya menuntut di Tingkatan Empat. Malangnya, selepas tamat kem tersebut, saya dimaklumkan bahawa penyertaan saya telah dibatalkan kerana tidak melepasi had umur minima iaitu 17 tahun.

Pengalaman kedua yang tidak dapat saya lupakan adalah semasa menyertai Jambori Antarabangsa Selangor yang bertempat di Kem Temasya Rimba Templer, Selangor pada tahun 1990. Memandangkan saya datang dari keluarga yang susah, saya tidak mampu menyediakan yuran penyertaan jambori tersebut. Namun, atas semangat kePengakapan yang tinggi, berbekalkan wang sebanyak RM3 (Ringgit Malaysia Tiga Sahaja), saya telah menaiki bas dari Hentian Puduraya menuju ke Taman Rimba Templer.

Setibanya saya di situ, kawasan tersebut telah dikawal oleh anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang bertugas bagi memastikan keselamatan peserta terjamin. Saya bertanyakan anggota polis yang bertugas, bolehkah saya masuk ke dalam. Beliau menjelaskan, hanya peserta berdaftar sahaja yang dibenarkan berada di tapak jambori. 

Saya berasa sedikit kecewa namun perasaan itu tidak menenggelamkan keinginan saya untuk turut serta di dalam acara tahunan tersebut yang boleh dikatakan antara acara kemuncak dalam kehidupan seseorang ahli Pengakap.

Oleh yang demikian, saya telah mengambil keputusan untuk memasuki kawasan jambori tersebut melalui laluan hutan. Setelah beberapa kali berpusing di sekitar kawasan hutan tersebut, nasib saya tidak berapa baik kerana telah berjaya ditangkap oleh anggota polis yang ditugaskan meronda di kawasan tersebut.

Saya telah diberi amaran untuk meninggalkan kawasan tersebut atau menghadapi dakwaan menceroboh kawasan. Saya memohon jasa baik anggota polis tersebut agar dapat membenarkan saya masuk tetapi tetap tidak dibenarkan. Kekecewaan terus melanda namun saya bertekad tidak akan meninggalkan kawasan tersebut selagi saya tidak menjejakkan kaki dan merasai suasana jambori yang pertama kali dalam hidup saya.

Salah seorang dari anggota polis bertugas merasa kasihan melihat saya yang duduk termenung tidak jauh dari pondok kawalan laluan ke tapak jambori. Beliau menawarkan saya untuk menemani beliau dan akan membenarkan saya masuk sejurus selepas majlis perasmian dijalankan. Saya bersetuju dengan cadangan beliau walaupun saya perlu menunggu majlis perasmian tersebut berlangsung dua hari lagi.

Disepanjang dua hari saya bersama anggota polis tersebut, saya telah dijamu dengan pelbagai makanan dari resin operasi anggota polis. Disamping itu, saya terpaksa tidur di dalam trak polis dan membersihkan diri di sungai berhampiran. Namun ketidak selesaan itu nyata berbaloi apabila anggota polis tersebut akhirnya membenarkan saya memasuki tapak jambori.

Setelah menamatkan alam persekolahan dan mula bekerja pada tahun 1992, saya jarang menemui masa untuk aktif dalam program Pengakap sehinggalah saya berkahwin dan dikurniakan anak. Pada tahun 2007 semasa anak saya mula menyertai Unit Berunifom Pengakap semasa di Kumpulan 38 Hulu Langat, minat saya kembali bercambah.

Namun saya dapati, aktiviti kePengakapan pada ketika itu amat menyedih dan melesukan berbanding semasa saya di alam persekolahan. Saya tidak nampak sebarang keseronokkan dan keterujaan untuk menjadi ahli Pengakap menerusi aktiviti-aktiviti yang dirancangkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian saya mula membantu Pemimpin Pengakap sekolah anak saya, Puan Noor Akmar Binti Md. Pahri berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang saya ada suatu ketika dahulu. 

Dengan persetujuan Kuasa Penganjur sekolah anak saya, saya telah dilantik secara rasmi sebagai Penolong Pemimpin kumpulan tersebut mulai tahun 2007 hingga anak saya menamatkan persekolahan beliau pada tahun 2010. Kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila saya sendiri dengan dibantu oleh isteri saya telah manjalankan sendiri Istiadat Melantik untuk anak saya seperti yang dianjurkan oleh pengasas Pengakap sendiri, BP kepada semua ahli baru.

Walaubagaimanapun, saya masih tidak menemui kepuasan mengajar ahli Pengakap Kanak-Kanak di sekolah tersebut kerana kerana kekangan masa yang diperuntukkan untuk aktiviti Pengakap semasa hari Kokurikulum. Oleh yang demikian, saya telah memohon kebenaran Guru Besar agar membenarkan ahli Pengakap dikecualikan dari menyertai aktiviti kelab/persatuan dan sukan. Permohonan tersebut diluluskan dan mulai dari itu, ahli dapat menimba pelbagai ilmu dan kemahiran berPengakap lebih lama berbanding sebelum ini yang hanya diperuntukkan 1 jam sahaja. Saya juga mula membina laman web untuk Pengakap sekolah tersebut dan boleh dilayari di http://38hululangat.blogspot.com.

Selepas anak saya meningkat naik sebagai ahli Pengakap Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Seremban, saya mula menjinakkan diri dengan aktiviti Pengakap di sekolah tersebut. Kehadiran saya diterima baik oleh Ketua Pemimpinnya, Puan Zainab Binti Said dan juga Tuan Shafizan Bin Shariman. 

Saya mula berkongsi pengalaman yang saya ada dan seiring dengan peningkatan anak saya ke unit Pengakap Remaja, saya turut membantu membimbing ahli Pengakap Remaja membuat persediaan untuk ke Penarafan Pengakap Raja. Alhamdulillah, hasil kerjasama semua pihak, anak saya bersama dua orang lagi kawannya telah berjaya dan dianugerahkan dengan anugerah Pengakap Raja pada tahun 2016. 

Pada tahun yang sama juga, saya telah berkhidmat di Jambori Pengakap Malaysia Kuala Lumpur sebagai petugas media. Pengalaman bertugas dijambori tersebut amat mengujakan kerana berada di tengah-tengah kelumpuk anak muda seramai lebih 8 ribu peserta yang begitu dahagakan aktiviti berPengakap.

Selepas anak saya menamatkan persekolahan, saya beranggapan tugas saya masih belum selesai lalu saya meneruskan khidmat saya membimbing calon-calon Pengakap Raja bekas sekolah anak saya dan alhamdulillah, lahir beberapa orang lagi penerima anugerah Pengakap Raja untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 6 orang pada tahun 2017 dan 2 orang lagi pada tahun 2018. Pengalaman ini ada saya catatkan di http://01serembantimur.blogspot.com.

Bertitik tolak dari situ, pada 22 Februari 2018, saya telah dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Daerah, PPM Daerah Seremban Timur bagi membantu melahirkan lebih ramai penerima anugerah Pengakap Raja. Hasilnya Daerah Seremban Timur Berjaya melahirkan 3 orang penerima anugerah pada tahun 2019 sebelum pandemic Covid-19 melanda dunia. Saya juga turut membina lawan web PPM Daerah Seremban Timur yang boleh dilayari di http://ppmserembantimur.blogspot.com.

Oleh kerana minat yang mendalam di dalam kePengakapan dan berbekalkan sedikit pengetahuan di dalam bidang internet, saya turut membina 2 lagi laman web iaitu http://direktoripengakap.blogspot.com (tahun 2009) yang mana dengan usaha ini, saya telah dianugerahkan dengan pingat dan sijil peringatan 100 Tahun Pengakap Malaysia. Sebuah lagi laman web yang masih aktif sehingga kini adalah catatan log peribadi saya sendiri sepanjang berkhidmat sebagai Penolong Pesuruhjaya Daerah iaitu http://adcpengakapremaja.blogspot.com.

Saya memegang moto "dalam Pengakap tiada paksaan, pamerkan minat dan kesungguhan pasti berjaya!" dan "membaca untuk pengetahuan, berlatih untuk kemahiran!" dalam membimbing ahli Pengakap Remaja pimpinan saya.

'SCOREBOARD' AKTIVITI / PROGRAM BULANAN YANG DIANJUR / DISERTAI TAHUN 2022

TATACARA KEMASKINI BULANAN:
Hantarkan butiran berikut menerusi aplikasi "Telegram" ke Ketua Unit Pengakap Remaja Daerah Seremban Timur:
1. Nama Program
2. Tarikh/Masa
3. Lokasi
4. Bilangan Peserta
5. Anjuran
6. Peringkat
7. Gambar semasa program (4 keping)

DOKUMEN WAJIB (TAHUNAN):
1. Sijil Pendaftaran Kumpulan
2. Borang Pendaftaran Keahlian Kumpulan
3. Surat Tauliah Sementara
4. Sijil Manikayu
5. Kad Keahlian Tahun Semasa
6. Laporan Program Tahunan (Klik untuk melihat contoh borang)